Sarawak rancang pusat kecemerlangan setaraf Bukit Jalil

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah (Gambar fail)
16/09/2021 04:33 PM

KUCHING, 16 Sept -- Sarawak merancang untuk membangunkan sebuah pusat kecemerlangan sukan (Centre of High Performance) berhampiran dengan Kompleks Sukan Negeri di Petra Jaya di sini, kata Menteri Belia dan Sukan Negeri Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah hari ini.

Beliau berkata pembangunan pusat kecemerlangan itu yang dirancang untuk menyediakan kemudahan latihan setaraf dengan Kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil di Kuala Lumpur, merupakan perancangan jangka masa panjang kementeriannya untuk membolehkan atlet negeri ini bersaing di peringkat tinggi.

“Dengan adanya pusat itu, kita dapat mengasuh para atlet dengan lebih teliti, dan buat masa ini ia telah pun dimulakan, menggunakan fasiliti yang sedia ada walaupun bangunan pusat kecemerlangan ini belum ada,” katanya kepada pemberita selepas menyambut kepulangan lima atlet dan seorang jurulatih Paralimpik Tokyo dari Sarawak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Berhubung kejayaan atlet dari Sarawak yang berjaya meraih pingat dalam temasya sukan itu, Abdul Karim berkata kerajaan negeri Sarawak akan mengumumkan insentif yang bersesuaian sebagai ganjaran kepada pencapaian mereka yang mengharumkan nama negeri ini.

“Biasanya insentif yang diberikan kerajaan negeri adalah separuh dari nilai insentif yang diberikan oleh kerajaan pusat,” katanya.

Jurulatih Jamil Adam mengetuai ketibaan atlet paralimpik dari Sarawak iaitu Jong Yee Khie (powerlifting), Wiro Julin (memanah), Jamery Siga (renang), Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting) dan Muhammad Nur Syaiful Zulkafli (renang).

Pada temasya Sukan Paralimpik lepas, Bonnie Bunyau meraih pingat emas kategori 72 kilogram (kg) manakala Yee Khie memenangi perak bagi kategori 70 kg.

-- BERNAMA