BAC 2022: Zii Jia layak ke separuh akhir

Kredit foto: Badminton Asia
29/04/2022 11:48 PM

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Pemain perseorangan utama lelaki negara Lee Zii Jia mempamerkan permainan bertenaga ketika menewaskan pemain Jepun Kanta Tsuneyama, bagi menempah tiket ke separuh akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2022 di Manila, Filipina, hari ini.

Zii Jia, pemain nombor tujuh dunia itu bermain cemerlang dari awal sehingga tamat permainan peringkat suku akhir, memerlukan hanya 36 minit untuk mengetepikan cabaran Tsuneyama 21-13, 21-11, di Kompleks Sukan Muntinlupa.

Pemain pilihan ketiga itu akan menentukan tempat ke akhir dengan bertemu pemain bukan pilihan dari China Weng Hong Yang, pada perlawanan separuh akhir esok.

Terdahulu Hong Yang melakukan kejutan dengan menewaskan pemain pilihan kedua kejohanan Anthony Sinisuka Ginting dari Indonesia dalam tiga set 21-13,16-21 dan 21-11.

Sementara itu juara beregu lelaki Terbuka Jerman 2022 Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani meneruskan permainan cemerlang mereka di kejohanan itu dengan menewaskan Ren Xiang Yu-Tan Qiang dari China, 21-19, 21-14.

Malaysia sudah pasti akan mempunyai satu wakil beregu lelaki di perlawanan akhir, selepas pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya menewaskan pasangan India Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty, 12-21, 21-14, 21-16, untuk bertemu pasangan Sze Fei-Nur Izzuddin, esok.

Bagaimanapun satu lagi pasangan beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun gagal meneruskan cabaran ke peringkat empat terakhir, selepas tewas kepada pasangan Indonesia Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto, 21-16, 21-16.

Sementara itu pasangan beregu wanita negara yang merupakan pilihan ketujuh kejohanan Pearly Tan-M. Thinaah, gagal mengekalkan kemenangan set pertama mereka, selepas tewas dua set seterusnya kepada pasangan pilihan keempat dari Jepun Yuki Fukushima-Sayaka Hirota, 21-14, 19-21, 16-21.

Dalam satu lagi perlawanan, harapan negara dalam beregu campuran juga berakhir, apabila pasangan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing tewas kepada pasangan Jepun Yuta Watanabe-Arisa Higashino, 18-21, 5-21.

-- BERNAMA