Atlet triatlon Isaac Tan sedia hadapi cabaran dalam aksi triatlon esok

28/07/2022 08:47 PM

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Atlet triatlon Malaysia  Isaac Tan Zhen Wei yang menghidap Autism Berfungsi Tinggi sedia untuk menghadapi segala cabaran dan mengharumkan nama negara dalam penyertaan julung kalinya di Sukan Komanwel di Birmingham pada Jumaat, bertanding bersama atlet-atlet triatlon terkemuka dunia.

Atlet triatlon berusia 17 tahun itu yang didiagnosis menghidap autism sejak berusia tiga tahun akan bertanding di dalam acara yang bermula dari 11 pagi hingga 4 petang (waktu United Kingdom) di Sutton Park, Sutton Coldfield.

Dengan membuktikan autism bukan satu batu penghalang untuk mencapai kejayaan, Tan akan mengambil bahagian dalam renang 750 meter, berbasikal 20 kilometer (km) dan berlari lima km yang merupakan sebahagian daripada perlumbaan triatlon dalam Sukan Komanwel bersama idolanya, Matt Hauser, Alex Yee dan Hayden Wilde. 

“Impian saya ialah menjadi seorang atlet Olimpik dengan catatan masa terbaik peribadi . Renangan, kayuhan dan larian saya semuanya mesti merupakan standard dunia,” kata Tan dalam satu kenyataan yang mengulas aspirasi beliau di Sukan  Komanwel yang diperoleh Bernama.

Sukan Komanwel merupakan satu-satunya temasya sukan utama antarabangsa yang menggabungkan acara  sukan Para dan bukan Para dan edisi 2022 akan mengetengahkan  program sukan Para terbesar   yang dianjurkan dengan penambahan sukan baharu 3x3 bola keranjang berkerusi roda.  

Bagi Tan mencapai catatan rekod peribadi terbaik dalam perlumbaannya dan terus mengatasi cabaran, dugaan dan kesengsaraan dihadapinya kerana autism, merupakan kemenangan baginya.

Atlet triatlon itu berkata kejayaannya terpilih mewakili Malaysia adalah kerana semangat yang tidak luntur dan keupayaan bangkit kembali daripada cabaran dihadapinya dalam sukan, akademik dan kehidupan, satu kemahiran yang dipelajari sebagai sebagai sebahagian daripada pendidikan yang diterima daripada Nexus International School Malaysia.

Tan yang bersekolah di Nexus selama 11 tahun telah menamatkan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) dan seterusnya akan menjalani latihan sebagai atlet sepenuh masa.

-- BERNAMA