Tokoh sukan wanita Tok Puan Zainon meninggal dunia

Kredit: FB - Olympic Council of Malaysia
28/07/2022 09:58 PM

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Arena sukan tanah air hari ini berduka dengan pemergian bekas Yang Dipertua Persatuan Hoki Wanita Malaysia (PHWM) Tok Puan Zainon Hussein yang meninggal dunia pada usia 85 tahun pagi tadi.

Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Mohd Nazifuddin Najib ketika dihubungi Bernama berkata tokoh hoki wanita itu  meninggal dunia di kediamannya di Mantin, Negeri Sembilan.

“Kami masih lagi menunggu daripada ahli keluarga Allahyarhamah mengenai sebab kematian beliau, apa yang saya tahu kematian Tok Puan Zainon merupakan kehilangan besar buat industri sukan tanah air,” katanya.

Mohd Nazifuddin berkata beliau telah banyak menyumbang jasa terutamanya dalam sukan hoki dan pernah mengusahakan pelbagai program pembangunan serta mempertingkatkan penyertaan wanita dalam sukan itu.

Pada masa sama, Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Dr S Shamala turut menyifatkan pemergian Zainon satu kehilangan besar kerana peranan penting yang dimainkan tokoh itu dalam memajukan arena sukan hoki wanita di dalam negara.

Dalam pada itu, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi hantaran Facebook rasminya berkata Zainon yang juga ibu saudaranya adalah seorang yang amat penyayang.

“Setelah pemergian ayahanda saya, arwah sentiasa meluangkan masa bersama bonda dan kami sekeluarga, seorang yang amat penyayang dan mulia,” katanya dalam hantaran itu.

Zainon yang merupakan isteri kepada bekas tokoh politik dan sukan negara Allahyarham Tan Sri Hamzah Abu Samah, mula berkhidmat sebagai Yang Dipertua PHWM sejak tahun 1973 hingga 1986.

Sepanjang berkhidmat di PHWM, Zainon telah memperkenalkan Kejohanan Hoki Wanita Kebangsaan untuk merebut Piala Tengku Budriah selain Malaysia turut menjadi tuan rumah kepada Kejohanan Hoki Piala Dunia Ketiga pada tahun 1983.

Pasukan hoki wanita negara juga telah mencipta sejarah apabila memenangi pingat gangsa pada Temasya Sukan Asia Kesembilan di Delhi, India pada 1982 semasa PHWM di bawah pimpinan beliau. 

Pada 2019, beliau telah dipilih sebagai penerima Anugerah Wanita dan Sukan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di atas jasa dan sumbangan dalam pembangunan sukan di negara.

-- BERNAMA