Skuad bola keranjang kerusi roda kempunan gangsa di Birmingham

03/08/2022 03:40 AM

Daripada Elmi Rizal Elias

BIRMINGHAM, 2 Ogos (Bernama) -- Skuad bola keranjang berkerusi roda 3x3 lelaki negara berputih mata untuk membawa pulang pingat gangsa Sukan Komanwel Birmingham 2022, apabila tewas pada perlawanan penentuan tempat ketiga hari ini.

Berdepan England di gelanggang Smithfield di sini, skuad negara terpaksa berpuas hati untuk menduduki tempat keempat pada penampilan pertama mereka di temasya sukan berkenaan, apabila tumpas 11-21 kepada pasukan tuan rumah itu.

Pada aksi tersebut, Muhamad Atib Zakaria menyumbangkan enam mata kepada pasukan negara, manakala Freday Tan Yei Bing dan Ahmad Nazri Hamzah masing-masing dua mata, sementara Muhammad Roozaimi Johari satu mata.

Australia meraih pingat emas selepas menumpaskan Kanada 11-9 di pentas final.

Ketua jurulatih negara Lim Ming Lip berkata walaupun gagal membawa pulang sebarang pingat pada temasya itu, beliau berpuas hati dengan prestasi anak buahnya.

Beliau berkata dengan persiapan hanya sebulan sebelum tiba di sini, pencapaian di tempat keempat adalah sesuatu yang membanggakan.

“Pemain-pemain sudah memberikan segalanya…kita akan memperbaiki kelemahan bagi menghadapi kejohanan akan datang. Matlamat kita selepas ini ialah untuk beraksi di Sukan Asia di Hangzhou (China) tahun depan, dan melayakkan diri ke Sukan Paralimpik 2024 di Paris,” katanya.

Justeru, beliau berharap Majlis Sukan Negara (MSN) dapat mempertimbangkan supaya barisan pemain skuad bola keranjang berkerusi roda 3x3 ini dapat diserapkan sebagai atlet sepenuh masa, bagi memantapkan prestasi mereka pada kejohanan berprestij akan datang.

-- BERNAMA