Muhamad Aznil mahu gegar pentas Sukan Asia 

Badang negara Mohammad Aniq Kasdan (kanan), Muhamad Aznil Bidin (kiri) dan Bonnie Bunyau Gustin (depan) sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
08/08/2022 12:33 PM

SEPANG, 8 Ogos (Bernama) -- Selepas mencipta pencapaian membanggakan pada Sukan Komanwel Birmingham 2022, jaguh angkat berat negara Muhamad Aznil Bidin mempunyai misi serampang dua mata pada temasya Sukan Asia ke-19 tahun depan.

Badang negara itu menyasarkan kilauan pingat emas untuk menjadi atlet angkat berat pertama negara menaiki podium dalam sejarah penganjuran Sukan Asia.

Katanya kejayaan tersebut juga akan membantu beliau dalam memburu mata bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 sekali gus mencapai cita-citanya membuat penampilan pada temasya sukan berprestij itu.

“Misi utama saya sudah semestinya untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik tetapi saya juga perlu memastikan angkatan bebanan di Sukan Asia terbaik untuk buru medal sebab belum pernah ada atlet angkat berat (Malaysia) menang medal sukan itu. 

“Kalau mahu pergi Olimpik saya perlu menyertai sekurang-kurangnya empat kejohanan tetapi markah mesti sempurna… satu daripadanya medan memburu mata di Sukan Asia, jadi saya mesti memberikan yang terbaik di sana,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Pada masa sama, atlet berusia 28 tahun itu mengakui bakal berdepan saingan hebat dari atlet seperti China, Indonesia dan Vietnam.

Beliau berkata Kejohanan Dunia di Colombia pada Disember ini adalah kejohanan terdekat untuk beliau sekali lagi menguji ketahanan mental dan fizikal dalam mempersembahkan aksi terbaik.

Menjelang kejohanan itu, Muhammad Aznil berkata selepas memenangi emas pada Sukan Komanwel Birmingham, beliau kembali meneruskan latihan bagi memperbaiki kelemahannya.

“Saya akan menyertai kejohanan di Colombia untuk kutip point dan setakat ini saya yakin dengan strategi yang ditetapkan jurulatih Yon Haryono sebab lepas menang emas di Birmingham pun sebenarnya saya terus berlatih tanpa henti,” kata atlet kelahiran Kedah itu.

Di Birmingham, Muhammad Aznil mencipta sensasi selepas mengungguli saingan kategori 61 kilogram (kg) lelaki dengan angkatan bebanan keseluruhan 285 kg (snatch 127kg, clean & jerk 158kg) sekali gus mencipta rekod baharu kejohanan.

Kejayaan tersebut membuktikan kehebatan beliau apabila mempertahankan emas yang dimenangi pada edisi 2018 di Gold Coast, Australia.

-- BERNAMA