Liek Hou optimis rangkul gelaran kejohanan disertai tahun ini

Pemain badminton Paralimpik negara Cheah Liek Hou
11/01/2023 06:10 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) -- Jaguh badminton para negara Cheah Liek Hou optimis mampu merangkul kesemua gelaran juara pada 12 kejohanan disertainya tahun ini, sekali gus mencerahkan peluang beraksi di Sukan Paralimpik Paris 2024.

Liek Hou yang juga pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020, bagaimanapun tidak mahu memandang mudah cabaran pemain lawan di setiap kejohanan tersebut yang boleh membantut hasratnya itu.

“Tahun ini sangat penting untuk saya layakkan diri ke Paralimpik Paris dengan kejohanan pertama akan disertai ialah di Sepanyol pada Februari. Sudah tentu ramai pemain mahu kalahkan saya maka saya perlu mengharungi setiap kejohanan satu persatu secara tenang.

Apapun saya perlu pastikan kondisi badan mampu berada dalam keadaan terbaik. Saya bukan muda lagi serta perlu elakkan diri daripada kecederaan supaya tidak keciciran mata,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Liek Hou yang akan menginjak usia 35 tahun pada Mac depan, berkata dalam masa sama tetap yakin mampu menyerap tekanan selain berhasil mencipta kejayaan di setiap kejohanan disertainya.

Liek Hou, yang dibimbing jurulatih dari Indonesia, Nova Armada juga berharap mampu mempraktikkan segala tunjuk ajar pengendalinya itu yang turut membimbing pemain perseorangan profesional wanita Goh Jin Wei dan pemain perseorangan profesional lelaki Soong Joo Ven, dalam mencapai matlamatnya itu.

“Di bawah (bimbingan) Nova, saya sifatkan mempunyai kelebihan berikutan turut berlatih bersama kedua-dua mereka.

“Berlatih bersama mereka (Jin Wei/Joo Ven), saya dapat lihat dari segi ketangkasan itu sangat berbeza selain memerlukan mentaliti yang kuat. Namun bagi saya ia akan memberikan kelebihan dalam mengharungi kejohanaan pada masa akan datang,” katanya.

Liek Hou menutup Kalendar 2022 dengan cukup bergaya selepas meraih gelaran dunia ketujuhnya di peringkat antarabangsa dalam acara perseorangan SU5 (kecacatan fizikal) di Kejohanan Badminton Para Dunia di Tokyo, November lepas.

-- BERNAMA