Sindhu sentiasa positif untuk beraksi selepas kembali daripada kecederaan

PV Sindhu
11/01/2023 09:35 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) -- Mungkin bukan kemunculan semula yang hebat buat bekas juara dunia PV Sindhu selepas lima bulan berehat susulan kecederaan dialami, namun pemain perseorangan wanita itu amat bersyukur dapat kembali beraksi.  

Pemain India berusia 27 tahun itu, yang tidak beraksi ekoran keretakan akibat tekanan di kaki kirinya sejak merangkul pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 pada Ogos lepas, tidak bernasib baik apabila diundi menentang juara Olimpik Rio 2016 dan musuh tradisinya Carolina Marin seawal pusingan pertama pada Terbuka Malaysia 2023, hari ini.

Walaupun tewas 12-21, 21-10, 15-21 dalam permulaan musim di Arena Axiata, Sindhu berjanji menampilkan persembahan lebih baik di Terbuka India minggu depan.

“Saya sepatutnya mengawal permainan dengan lebih baik dan mengekalkan kutipan mata. Saya beri dia ruang mendahului dari awal lagi dan mengambil masa untuk mengejarnya, keadaan itu kekal hingga tamat perlawanan. Dari segi mental dan fizikal saya baik-baik saja, teruja dan gembira untuk kembali ke gelanggang.

“Sedih bila kalah, tetapi saya sentiasa positif dan gembira dapat kembali bermain. Saya harap tahun ini akan lebih baik dan boleh menang lebih banyak perlawanan. Saya tidak boleh mengharapkan perlawanan yang mudah (pada Terbuka India) kerana perseorangan wanita menyaksikan semua pemain sama kuat. Jadi, saya akan bersedia yang terbaik bagi kejohanan itu,” katanya.

Sementara itu, Marin yang berada dalam situasi hampir sama pada Terbuka Malaysia tahun lepas selepas pulih daripada pembedahan ligamen krusiat anterior (ACL) pada lutut kirinya iaitu sebulan sebelum Sukan Olimpik Tokyo, berkata untuk kembali ke prestasi terbaik selepas kecederaan adalah sesuatu yang mencabar mental.

“Saya mengalami kesakitan setiap hari pada sepanjang tahun itu (2022). Saya berasa sakit ketika bangun tidur, semasa dan selepas latihan, boleh dikatakan hampir sepanjang masa. Saya banyak berbincang dengan jurulatih dan pasukan tentang kesukaran saya ini, dan akhirnya pada penghujung tahun lepas rasa sakit itu tiada lagi, saya dapat berlatih dengan lebih kuat…Kini, saya rasa lebih bersedia.

“Pada perlawanan tadi, saya perlu bersedia terhadap sebarang kemungkinan kerana Sindhu tidak bermain hampir setengah tahun. Saya berharap dapat terus meningkatkan prestasi ketika latihan di rumah, kerana itu bermakna saya lebih bersedia untuk bermain dalam kejohanan dan berdepan sesiapa sahaja,” kata Juara Terbuka Malaysia 2015 itu.

Marin bakal berdepan cabaran pemain Thailand, Pornpawee Chochuwong dalam pusingan kedua, esok. 

-- BERNAMA