KHM bawa masuk pakar pukulan sudut penalti dari Australia

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Subahan Kamal (kanan) ketika sidang media bagi memperkenalkan pakar pukulan sudut penalti di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil hari ini. Turut hadir Pakar Pukulan Sudut Penalti yang juga bekas pemain hoki kebangsaan Australia, Christopher Ciriello (kiri).
15/03/2023 05:41 PM

KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini mengumumkan kehadiran pakar pukulan sudut penalti dari Australia, Christopher Ciriello bagi membantu meningkatkan tahap kemahiran pemain pasukan kebangsaan termasuk skuad remaja.

Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal berkata pemilihan Ciriello itu dibuat berdasarkan perbincangan pihaknya termasuk penasihat pukulan sudut penalti pasukan kebangsaan, S. Kuhan dan pengendali skuad hoki lelaki negara, A. Arul Selvaraj, selepas menilai beberapa calon lain.

Beliau berkata objektif utama mendapatkan khidmat bekas pemain kebangsaan Australia berusia 37 tahun itu bagi membantu menajamkan penyudah pukulan sudut penaliti skuad Speedy Tigers menjelang Sukan Asia Hangzhou 2022 dan Piala Dunia Remaja 2023.

“Dia (Ciriello) pakar pukulan sudut penalti yang sudah banyak kali mewakili pasukan kebangsaan Australia pada temasya Sukan Olimpik, Sukan Komanwel dan Piala Dunia.

“Jadi dia akan bersama kita untuk beberapa bulan, dia akan berada di sini untuk beberapa hari dan pulang ke Australia sebelum datang kembali untuk sesi berikutnya,” katanya pada sidang media memperkenalkan Ciriello di Stadium Hoki Nasional di Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Subahan berkata KHM bercadang untuk mengadakan lima hingga enam sesi bersama Ciriello menjelang Sukan Asia yang dijadual berlangsung September ini dan Piala Dunia Remaja yang akan diadakan di sini pada Disember ini.

Pada masa sama, Arul Selvaraj berkata kehadiran Cirello, bekas penolong jurulatih skuad kebangsaan India, akan membawa dimensi baharu kepada pemain kebangsaan terutama skuad remaja yang tidak pernah mendapat pendedahan daripada pakar luar negara.

“Menariknya pasal dia Chris (Ciriello) dia telah memenangi Piala Dunia pada 2014, jadi dia tahu macam mana untuk menang, itu sangat penting. Apabila kita bawa orang dari luar adalah penting individu itu sudah capai banyak kejayaan di peringkat dunia.

“Saya fikir dia melakukan banyak kerja dengan India dan telah meningkatkan kaedah melakukan ‘flick’ India ke tahap lain di mana mereka mula menjaringkan gol dan India digeruni daripada aspek pukulan sudut penalti sejak dia mengambil alih," katanya.

Sementara itu, Ceriello berkata penyudah skuad negara bagus tetapi masih ada ruang untuk memperbaiki lagi prestasi mereka.

Katanya, setiap pasukan memerlukan sekurang-kurangnya tiga pakar pukulan sudut penalti.

Ciriello akan memulakan tugasnya hari ini sehingga Sabtu yang menyaksikan beliau akan berkongsi pengalaman dan pengetahuannya dengan skuad lelaki dan wanita remaja serta pasukan senior wanita.

Antara pencapaian tertinggi Ciriello ialah membantu Australia menjuarai Piala Dunia 2014, meraih dua pingat emas Sukan Komanwel masing-masing pada edisi 2010 dan 2014 serta merangkul gangsa Sukan Olimpik 2012.

Beliau menjaringkan 116 gol dalam keseluruhan 199 penampilan di pentas antarabangsa selama sembilan tahun bersama Australia dari 2008 sehingga 2017.

-- BERNAMA