Peng Soon, Yee See Belum Fikir Paris, Mahu Bina Keyakinan Dahulu

Aksi atlet beregu campuran negara Chan Peng Soon (kiri) dan Cheah Yee See ketika menentang pemain dari Indonesia Adnan Maulana dan Nita Violina Marwah pada sesi kelayakan kejohanan Perodua Malaysia Master 2023 di Axiata Arena Bukit Jalil hari ini.
23/05/2023 04:35 PM

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Cheah Yee See, mahu memfokuskan kepada membina keyakinan sebelum memikirkan untuk merebut slot ke Sukan Olimpik Paris tahun depan. 

Peng Soon mengakui beliau dan Yee See masih berusaha untuk membentuk gandingan stabil selain meningkatkan tahap permainan selepas prestasi tidak menentu, biarpun sudah hampir setahun digandingkan iaitu sejak Jun tahun lepas.

“Saya dengan Yee See memang tak fikir sangat jauh ketika ini sebab setahun prestasi tak bagus tapi masih penting untuk bina keyakinan, hadapi setiap perlawanan satu demi satu, kalau boleh perbaiki lagi bagus,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menumpaskan pasangan Indonesia, Adnan Maulana-Nita Violina Marwah, 21-19, 22-20 dalam pusingan kelayakan Masters Malaysia 2023 dan dijadual menentang pilihan ketujuh dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun pada saingan pembukaan esok.

Biarpun dilihat bergelut untuk menyingkirkan Adnan-Nita, Peng Soon tetap berpuas hati dapat melunaskan misi balas dendam hari ini selepas dikecewakan pasangan Indonesia itu pada suku akhir Masters Orleans di Perancis, bulan lepas.

Dalam pada itu, Peng Soon berkata beliau dan Yee See akan mengkaji corak permainan Won Ho-Na Eun termasuk melakukan video analisis malam ini sebelum turun menentang mereka esok.

Sementara itu, perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao yang meraih gangsa di Sukan SEA, Kemboja, gagal layak ke pusingan pertama selepas disingkirkan pemain Taiwan Chi Yu Jen, 22-20, 19-21, 11-21. 

“Memang beliau ada tukar corak permainan dan saya susah nak baca, bulu tangkis perlahan, gelanggang kurang angin dan saya tak sabar nak serang, jadi saya kalah,” kata pemain di ranking ke-64 dunia itu. 

Perseorangan profesional negara Soong Joo Ven turut mengalami nasib sama apabila ditewaskan pemain Korea Jeon Hyeok Jin di ranking ke-69 dunia, 8-21,18-21.

Aksi beregu wanita pula menyaksikan pasangan kembar Cheng Su Hui- Cheng Su Yin tersingkir daripada pusingan kelayakan selepas dibenam pasangan Indonesia Meilysa Trias Puspitasari-Rachel Allessya Rose 16-21, 10-21. 

Keputusan Pusingan Kelayakan:

--------------------------------------------

(Nota: semua pemain Malaysia kecuali dinyatakan)

 

Perseorangan lelaki:

Chia Hao Lee (TPE) mn Cheam June Wei 21-8, 7-21, 21-14

Christo Popov (FRA) mn Mohamad Hafiz Mohamed Sikkander 21-9, 21-9

Christian Adinata (INA) mn Aidil Sholeh Ali Sadikin 16-21, 21-15, 22-20

 

Beregu Lelaki :

Tan Kian Meng-Tan Wee Kiong mn Kevin Lee-Ty Alexander Lindeman (CAN) 21-16, 21-11

-- BERNAMA