Mohamad Yusof Tekad Buru Jersi Pelangi Uci

Atlet lumba basikal Para Negara Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin menunjukkan pingat gangsa yang dimenanginya di Kejohanan Berbasikal Trek Para Dunia UCI 2024 di Rio de Janeiro, Brazil, sewaktu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 hari ini.
27/03/2024 06:39 PM

SEPANG 27 Mac (Bernama) -- Kejayaan merangkul gangsa ujian masa 1 kilometer (km) lelaki C1 (kecacatan fizikal) pada Kejohanan Trek Berbasikal Para Dunia 2024 di Rio de Janeiro, Brazil, minggu lepas, terus melonjak semangat Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin memburu jersi pelangi pada kejohanan akan datang.

Jersi pelangi Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) merupakan lambang kemegahan yang dipakai oleh juara bertahan setiap acara pada kejohanan dunia.

Walaupun mengulangi pencapaian pada edisi 2022 di Paris, Mohamad Yusof berkata semangatnya tidak pernah luntur malah akan terus berusaha keras pada sesi latihan bagi mencapai misi berdiri sebaris juara dunia lain satu hari nanti.

Atlet berbasikal trek Para Negara Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin (kanan) menerima sejambak bunga daripada Pengerusi Biro Para Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Abdul Halim Md Yusoff (kiri) sewaktu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1.

“Dahulu orang tanya saya apa matlamat saya untuk berlumba, saya hanya jawab nak jadi juara dunia. Sudah tentu pencapaian di Brazil bakar semangat untuk pakai jersi pelangi.

“Bagaimanapun, saya perlu tingkatkan kekuatan diri dan jaga disiplin untuk pegang gelaran juara dunia nanti.,” katanya kepada pemberita sejurus tiba dari Brazil di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Atlet berusia 26 tahun itu menyambar gangsa dengan catatan 1 minit 15.562 saat (s) manakala China menguasai dua kedudukan teratas podium menerusi Li Zhang Yu yang memenangi emas (1:10.608s) dan Liang Weicong pula meraih perak (1:13.292s).

Atlet berbasikal trek para negara Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin (tengah) menunjukkan pingat gangsa yang dimenanginya bersama-sama jurulatih berbasikal Para Negara, Sallehudin Mohd Noh (kiri) dan Johari Nayan (kanan).

Pelumba dari Kuala Kangsar, Perak, itu  pada masa sama menyifatkan tahun 2024 sebagai musim terbaiknya setakat ini susulan pencapaian membanggakan bukan sahaja di Brazil malah menjadi wakil negara pertama menaiki podium pada Piala Dunia Berbasikal Para Lebuh Raya di Adelaide, Australia, Januari lepas.

Mohamad Yusof mencipta sensasi merangkul gangsa pada kejohanan berprestij di Adelaide dengan merakam masa 21:33.17s bagi acara ujian masa lebuh raya di belakang juara dari  Sepanyol, Ricardo Ten Argiles (21:32.27s) dan pingat perak dibawa pulang wakil Jerman, Pierre Senska (21:32.27s).

Selepas Adelaide, beliau terus mengekalkan momentum kecemerlangannya dengan merangkul empat emas pada Kejohanan Berbasikal Trek Para Asia 2024 di New Delhi, bulan lepas iaitu kejar mengejar individu lelaki C1, pecut berpasukan campuran C1-5 bersama Zuhairie Ahmad Tarmizi dan Muhammad Hafiz Jamali, scratch lelaki C1 serta ujian masa lelaki 1km C1.

Ditanya peluangnya menyumbang pingat pada Sukan Paralimpik 2024 di Paris, beliau berkata akan cuba memberi kayuhan terbaik bagi mengejar impian tersebut sekiranya diberikan peluang beraksi pada temasya sukan berprestij dunia dijadual berlangsung dari 28 Ogos-8 Sept ini.

Sementara itu, jurulatih berbasikal para negara, Sallehudin Mohd Noh berkata Malaysia telah memperoleh dua kuota masing-masing satu untuk lelaki dan wanita oleh UCI bagi Sukan Paralimpik 2024 setakat ini.

Sallehudin, yang berharap Malaysia akan menambah kuota pelumba  ke Sukan Paralimpik 2024, berkata pengumuman rasmi wakil negara yang akan beraksi di Paris hanya akan dibuat pihaknya selepas kempen kelayakan berakhir 30 Jun ini.

-- BERNAMA