Tang Jie-ee Wei Perlu Bijak Pilih Bilangan Kejohanan - Liu Ying

Bekas pemain badminton beregu campuran negara Goh Liu Ying bercakap pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran muzik video bertajuk 'Swing It, Work It, Shake It' di ibu kota hari ini. --fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA
29/03/2024 05:48 PM

PETALING JAYA, 29 Mac (Bernama) -- Beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei disarankan agar bijak memilih bilangan kejohanan yang akan disertai mereka menjelang Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan membuka tirai 26 Julai ini.  

Bekas pemain beregu campuran negara Goh Liu Ying berkata langkah itu bagi mengelakkan kecederaan buat gandingan tersebut yang kini berada di ranking kelapan dalam kelayakan Olimpik untuk membuat penampilan pertama di temasya berprestij itu. 

"(Pengiraan) Mata Olimpik pun sudah nak tutup jadi saya rasa sekarang ialah masa untuk latihan sebagai persediaan ke Olimpik.

"Mungkin kita boleh main lagi beberapa kejohanan tidak lebih daripada lima sebelum Olimpik," katanya kepada Bernama selepas menghadiri tayangan muzik video 'Swing It, Work It, Shake It' di Emhub, Petaling Jaya di sini hari ini.

Setiap negara mempunyai kuota maksimum dua wakil bagi satu kategori jika kedua-duanya menghuni kedudukan lapan terbaik sehingga tarikh akhir kelayakan 28 April ini.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 itu turut berpendapat pakar psikologi mampu meningkatkan kekuatan mental Tang Jie dan Ee Wei yang juga naib juara Terbuka Switzerland 2024 itu.

"...mereka boleh mempamerkan aksi yang baik tetapi mungkin terlalu nak menang jadi boleh menyebabkan prestasi mereka turun naik.

"Saya rasa keyakinan mereka memang ada tetapi mungkin keinginan mereka terlalu tinggi jadi keadaan yang tak seimbang untuk sekarang," katanya.

Liu Ying turut mencadangkan beregu itu supaya membuat persiapan berhubung kekuatan mental yang boleh membantu mereka dalam aksi di Olimpik.

-- BERNAMA